DO YOUR BEST...ALLAH WILL DO THE REST

BerUSAHA untuk menJADI.....bukan menCARI untuk meMILIKi.....tetapi diKONGSI supaya meLENGKAPi.....agar sama-sama mengHARGAI......

Wednesday, August 18, 2010

Kisah Seorang Abang

Salam….
Ini adalah sebuah coretan dari hati seorang abang mengenai cinta, bukan cerita sendiri tau. Cinta itu universal, fahamilah……

Sebagai seorang ketua pelajar di sebuah sekolah premier di pantai timur semenanjung Malaysia, aku diberikan tanggungjawab yang kadang-kadang tidak dapat tidak untuk aku mengorbankan masa aku sebagai seorang pelajar. Walaupun selalu masalah itu berlaku berulang kali, tetapi aku terpaksa untuk menyelesaikannya kerana ia merupakan tanggungjawab. Daripada masalah diri sendiri hinggalah masalah rakan-rakan, termasuklah junior-junior seasrama denganku malah masalah “siswi”,sebagai ketua pelajar aku terpaksalah juga untuk menguruskannya. Sakit demam pelajar-pelajar menjadi agenda sampingan yang boleh dikatakan penting bagiku.

Di sini ada seorang siswi, tak perlulah aku beritahu namanya, sebab kalau aku cakap pun, bukan ada yang kenal, selalu sangat menyusahkan aku. Habitnya hari-hari pengsan, pengsan dan pengsan. Disebabkan aku ketua pelajar, takkan aku nak biarkan saja pelajar lain menghadapi masalah. Jadi menjadi tugas aku untuk melaporkan perkara ini kepada felo dan membawanya ke hospital. Hampir setiap hari aku menemaninya ke hospital. Kadang-kadang naik boring dalam diri aku. Apa nak buat, itu sepatutnya tugas seorang ketua pelajar.

Suatu hari, semasa aku sedang mengambil makanan di dewan makan asrama, aku terlihat pelajar yang selalu menyusahkan aku sedang mengambil makanan sepertiku. Cuma beberapa orang dihadapan, aku dapat melihat dia dengan jelas. Apa aku kisah, perut aku yang berkerocong ini membiarkan sahaja dia terus mengambil makanan. Akan tetapi, bila aku amati betul-betul, dia sangat menghormati setiap makcik-makcik yang meletakkan makanan ke dalam pinggannya. Ucapan “terima kasih” tidak lekang dari mulutnya sehingga habis semua makcik meletakkan makanan. Timbul satu perasaan dalam diri aku, “baik juga budak ni, tahu menghormati orang tua”. Aku lihat dia tidak seperti pelajar-pelajar lain yang langsung tak kisah kepada makcik-makcik yang telah berpenat-lelah menyediakan makanan untuk mereka. Dari rasa “naik meluat” kepada siswi yang selalu menyusahkan aku, timbul satu perasaan simpati kepada siswi itu. Bukan kerana cantiknya seseorang itu, tetapi kerana sahsiahnya terhadap orang lain. Malah terlintas dalam diri aku untuk mendoakan siswi itu supaya pengsan lagi agar aku boleh menemaninya ke hospital selalu, agar aku boleh mengenalinya dengan lebih dekat. Ya Allah, apa yang aku fikirkan ini.

Rasa ingin mengenali siswi ini terlalu kuat dalam diri aku. Baru aku tahu dia merupakan junior aku. Dulu aku tak ambil kisah langsung. Tapi SPM membantutkan sedikit usaha aku. Dua minggu sebelum SPM, aku cuba untuk mewujudkan satu pertalian dengan empunya badan. Dan si dia tidak menolak. Aku sangat seronok ketika itu. SPM yang aku lalui terasa bagai begitu mudah bagiku. Segalanya mungkin. Apabia selesai SPM, aku cuba untuk kukuhkan pertalian yang aku telah jalinkan. Tetapi, pada waktu itu baru sedar, dia tidak menolak permintaan aku kerana aku akan menghadapi SPM. Dia tidak sanggup aku gagal dalam SPM kerana kecewa cinta ditolak olehnya. Baru aku faham, rasa simpati darinya menyelamatkan aku dari kekecewaan dan kegagalan. Aku berlapang dada dalam menghadapi semua ini.

Itu kisah lapan tahun yang lalu. Sekarang(2003) aku sudah menghabiskan ijazah pertamaku dalam bidang kejuruteraan mekanikal. Dan sekarang aku sudah bekerja di sebuah syarikat swasta di selatan tanah air. Kenangan lapan tahun yang lalu masih kuat bermain dalan ingatan. Terasa bagai ingin memutar kembali masa ke zaman persekolahan yang lalu.

Pada satu reunion sekolah sempena hari raya yang lalu, aku terserempak dengan si dia yang lapan tahun lalu berjaya menyentuh hati seorang ketua pelajar pada waktu itu. Sekarang bukan lagi masa untuk bermain-main, ini untuk ikatan sehingga mati. Itu nekad aku. Lapan tahun lalu aku cuba dan hari ini akan aku lunaskannya. Permohonan dihantar dan permintaan aku diterima dengan hati yang terbuka oleh si dia. Ekonomi sudah kukuh, sekarang masa untuk menyempurnakan separuh dari agamaku. Lapan tahun aku menunggu, Alhamdulillah sekarang tertunai jugak rasa hati yang ingin mengenali si dia dengan lebih rapat, melalui ikatan yang halal, dan diharuskan syara’.
Dan bersyukur kepada tuhan, sekarang (2010) sudah tujuh tahun aku mendirikan rumah tangga dengan siswi yang selalu menyusahkan aku pada waktu dulu, dan dikurniakan dengan 2 orang cahaya mata (1 lagi tengah tunggu nak keluar). Alhamdulillah bahagia seadanya.

(cerita ini berdasarkan kisah benar seorang abang yang patut dijadikan pedoman agar kita faham erti cinta itu sendiri…..dan cerita ini telah ditokok tambah agar nampak lebih segar dan realistic….MAAf yer Bro…..cinta itu buta….)

1 comment:

  1. ku kenal abg ini...salu nampak hari2...rupanya arwah tuliskan sesuatu utk abg ni...subhanallah...pertalian hati sewaktu hidup di bawa ke mati...al-fatihah utk arwah

    ReplyDelete